Home » , » Gempa uji kekuatan dalaman pendaki Gunung Kinabalu

Gempa uji kekuatan dalaman pendaki Gunung Kinabalu

Posted By Dennelton on Monday, September 28, 2015 | 22:41


Walaupun kejadian gempa bumi di Ranau dan kawasan sekitarnya sudah lama berlalu, namun ia seakan baru berlalu dan masih segar dalam ingatan, terutama para pendaki dan malim gunung yang berada di puncak gunung ketika berlaku gempa bumi itu.

Kejadian luar jangka itu bukan sahaja mengejutkan lebih tiga juta penduduk Sabah malah menarik perhatian serta mendapat liputan media yang meluas di seluruh dunia.

Tiada yang menyangka gempa bumi sekuat itu berlaku, selang sebulan selepas sekumpulan pelancong luar negara berbogel di puncak gunung, dan perbuatan itu dikecam oleh banyak pihak kerana ia dikatakan telah “menodai kesucian dan kesempurnaan Gunung Kinabalu” yang merupakan antara gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi pada 5 Jun lepas, meragut nyawa 18 pendaki termasuk empat malim gunung.

Selain itu, gempa bumi itu telah merubah lanskap Gunung Kinabalu dan turut mengakibatkan banjir lumpur sehingga berlakunya krisis kekurangan air di beberapa tempat di daerah Ranau.

Menurut beberapa pendaki gunung yang terselamat, kejadian gempa bumi itu amat menakutkan dan ia merupakan peristiwa ngeri yang tidak akan dilupakan selama-lamanya.

Shahrull Izwan Zainuddin, salah seorang pendaki Gunung Kinabalu dari Ranau yang terselamat berkongsi pengalaman dalam kejadian itu.

“Pengalaman ini mengajar saya supaya sentiasa bergantung harap kepada sang pencipta, mengajar erti kerjasama, keberanian, kecekalan dan semangat kental untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata pada 4 Jun 2015, beliau bersama 21 orang berkumpul untuk melakukan misi menawan puncak Kinabalu dan kumpulan mereka ditentukan sebagai kumpulan AR04 yang dijaga oleh empat malim gunung Fadhley (Ketua malim), Ramzilan, Ronney dan Azizi.

“Cuaca pada hari itu sangat baik, tetapi hujan renyai-renyai selepas kami melepasi checkpoint Layangan. Walaupun begitu pendakian masih diteruskan kerana hasrat kami untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.

“Saya membantu sahabat saya, Elsa sepanjang pendakian dengan memberikan kata-kata semangat. Lebih kurang jam 5.30 petang, saya bersama Elsa dan Guide kami iaitu Ronney sampai di Laban Rata. Kami antara orang yang akhir sekali sampai di sana,” katanya.

Misi menawan puncak Gunung Kinabalu

Shahrull berkata pada keesokan pagi, iaitu kira-kira jam 2 pagi (5 Jun) kumpulan yang menginap di Gunting Lagadan itu bersiap sedia untuk meneruskan aktiviti pendakian.

“Saya hanya makan sepotong roti dan segelas air. Perasaan ketika itu berkobar-kobar untuk meneruskan misi menawan puncak Kinabalu. Setelah mendengar taklimat, sesi awal pagi itu diakhiri dengan bacaan doa. Selepas itu kami teruskan misi pendakian,” katanya.

Shahrull berkata, dia bersama tiga lagi rakannya iaitu Qama, Tiqa dan Saiful merupakan antara orang yang terakhir sampai di puncak pada kira-kira pukul 6.45 pagi.

“Malim gunung awal-awal lagi memberi amaran kepada kami jangan duduk lama di atas (puncak gunung). Jadi kami turun daripada puncak itu.

“Hanya beberapa ratus meter sahaja dari Low Peak, ketika saya mengambil gambar rakan saya iaitu Qama di kawasan tasik kecil, tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat serta gegaran.

“Saya begitu takut tetapi saya berusaha untuk tidak panik dan tenangkan sahabat saya. Saya juga sudah bersedia untuk melakukan apa sahaja pergerakan sekiranya batu jatuh ke arah kami akibat gegaran itu,” katanya.

Shahrull berkata, dia melihat batu di puncak Low Peak dan Donkey Ears, jatuh akibat gegaran.

“Waktu itu, kami betul-betul berada di tengah-tengah tetapi Alhamdulillah, batu-batu tidak jatuh menuju kami. Saya bersyukur namun pada saat itu saya dapat merasakan peluang untuk saya hidup dan sampai ke bawah adalah sangat tipis. Saya juga risau tentang keselamatan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, selepas beberapa minit, mereka diarahkan oleh malim gunung untuk turun ke suatu kawasan lapang dan berkumpul di situ.

“Saya begitu gembira melihat ahli kumpulan saya yang lain semuanya selamat dan berkumpul di kawasan itu.

“Saya sempat melakukan dua panggilan menggunakan telefon sahabat saya. Saya telah menelefon salah seorang sahabat saya yang bekerja di Jabatan Meteorologi untuk mengesahkan keadaan dan juga menelefon ibu saya untuk memberitahu keadaan kami,” katanya.

Shahrull berkata, sementara menunggu bantuan tiba, mereka lebih banyak berdiam diri.

“Keadaan cuaca ketika itu “sekejap sejuk dan sekejap panas”. Selain kesejukan, saya berasa lapar dan haus,” katanya.

Menurut Shahrull, beberapa jam kemudian, mereka diberitahu bahawa helikopter akan sampai untuk mengambil mereka.

“Namun, kami amat terkilan kerana bantuan yang dinanti-nantikan dari pagi sampai petang itu tidak sampai-sampai. Kami kemudian diberitahu bahawa helikopter sudah bersedia untuk mengambil kami tetapi diberitahu helikopter tersebut tidak dapat naik kerana kabus tebal.

“Kami masih menunggu dengan sabar dan apabila kabus hilang, kami sekali lagi diberitahu bahawa helikopter masih berada di luar kawasan dan kemungkinan esok hari, baru boleh datang mengambil kami. Begitu juga dengan bantuan makanan dan baju sejuk serta khemah hendak diberikan pada kami.

“Kami terkejut mendengar perkataan “khemah” sebab kami tidak sanggup tidur di atas puncak yang amat berisiko tinggi,” katanya.

Mati dalam kesejukan atau mati mencuba

Shahrull berkata, dia melihat malim gunung berbincang dan selepas itu mereka memberikan kata putus bahawa para pendaki terpaksa turun untuk selamatkan diri daripada kesejukan dan kelaparan.

“Waktu itu saya sungguh lemah dan kehabisan tenaga begitu juga dengan orang lain. Namun hanya ada dua pilihan sahaja yang diberikan oleh malim gunung “Mati dalam kesejukan/kelaparan atau mati mencuba”.

“Lalu kami memilih untuk mati mencuba dan berbekalkan semangat untuk meneruskan hidup, kami semua memutuskan untuk turun beramai-ramai tanpa menunggu bantuan tiba,” katanya.

Shahrull memuji keberanian dan kecekalan malim-malim gunung kerana mereka memberikan semangat dan kekuatan kepada para pendaki yang terkandas di atas gunung Kinabalu.

“Mereka sediakan jalan-jalan baru dengan membahayakan nyawa sendiri untuk kami lalui kerana laluan sedia ada tidak dapat digunakan,” katanya dan berharap kerajaan atau pihak berwajib dapat memberikan anugerah dan penghargaan kepada semua malim gunung.

“Jujur saya katakan malim gunung berperanan 100 peratus menyelamatkan kami,” katanya.

Shahrull berkata setelah berada hampir 10 jam di puncak gunung Kinabalu, kira-kira jam 4.30 petang mereka memulakan perjalanan menuruni gunung.

“Jalan yang kami lalui kebanyakannya jalan-jalan baru dibuat oleh Malim Gunung. Melalui Checkpoint Sayat-Sayat sehinggalah ke Laban Rata. Jalan itu boleh dikatakan “total lost” (rosak teruk).

“Jalan baru yang dibuat juga boleh dikatakan berisiko tinggi, bukan sahaja curam malah batu-batu yang berada di atas kami boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja. Silap sedikit boleh membawa maut,” katanya.

Katanya lagi, malim gunung juga memberikan amaran kepada mereka supaya tidak menegur atau pandang jika ternampak sesuatu di tengah jalan.

“Dalam perjalanan turun, saya terpandang beberapa mayat. Saya begitu sedih tetapi saya perlu kuatkan semangat untuk terus hidup dan memberikan kata-kata semangat kepada sahabat saya yang lain agar mereka kuat dan terus bertahan,” katanya.

7.30 malam tiba di Gunting Lagadan

Beliau berkata lebih kurang jam 7.30 malam, mereka sampai di Gunting Lagadan.

“Kami masing-masing mengemas barang-barang. Keadaan Gunting Lagadan ketika itu seperti rumah tinggalan lama.

“Kami kemudiannya berkumpul di Laban Rata, iaitu tidak jauh dari Gunting Lagadan. Syukur kerana beberapa makanan ringan seperti biskut dan minuman bergas ada di sana. Kami sempat makan untuk mendapatkan tenaga. Riuh rendah kedengaran di kawasan Laban Rata,” katanya.

Shahrull berkata, lebih kurang jam 8 malam, semua ahli kumpulannya berkumpul bersama empat malim gunung mereka.

“Proses pengiraan dilakukan dan kami dilepaskan untuk meneruskan misi untuk sampai ke Timpohon,” katanya.

Katanya, perjalanan menuju ke Timpohon sangat gelap. “Kami hanya bergantung dengan “head lamp”. Malah sepanjang perjalanan turun, kami dalam keadaan ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga kerana bimbang berlaku gegaran di sepanjang jalan”.

“Sewaktu kami hampir sampai di KM1.5, tiba-tiba gegaran susulan berlaku. Alhamdulillah. Syukur kami masih selamat,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan para pendaki semakin laju dan masing-masing tidak mempedulikan kesakitan kaki, kepenatan mahupun kelaparan, kerana dalam fikiran hanya untuk sampai di Timpohon Gate.

“Dalam perjalanan menuju ke checkpoint 1 hingga 3, kami bertemu dengan beberapa anggota agensi kerajaan. Selepas kami melepasi KM1.5 yang mana jalannya hampir separuh runtuh, bantuan daripada beberapa orang askar di situ memudahkan perjalanan kami,” katanya dan menambah keadaan gelap dan bunyi-bunyi cengkerik sepanjang perjalanan begitu menyeramkan.

Shahrull berkata, ketika menghampiri Timpohon Gate, kelihatan ramai anggota agensi kerajaan sedang menunggu.

“Saya begitu gembira dan lega kerana akhirnya kami semua selamat. Kami antara kumpulan pertama sampai di Timpohon Gate iaitu kira-kira jam 1 pagi (6 Jun),” katanya.

Beliau berkata, mereka kemudiannya diarahkan untuk mendapatkan rawatan di kem perubatan dan selepas itu mereka ke kaunter Taman Kinabalu mengikut kenderaan yang disediakan.

“Sahabat saya Charlene dibawa ambulans terus ke Hospital Ratu Elizabeth (Kota Kinabalu) malam itu ditemani oleh Zul kerana beliau mengalami kecederaan,” katanya.

Shahrull berkata, pengalaman itu akan kekal dalam ingatan selama-lamanya.

“Pengalaman ini mengajar kami akan bergantung harap kepada sang pencipta, mengajar erti kerjasama, keberanian, kecekalan dan semangat kental untuk meneruskan kehidupan”.

“Takziah buat rakan-rakan pendaki dan malim gunung yang terkorban dalam kejadian itu,” katanya mengakhiri perkongsian pengalaman.

Dalam kejadian itu, seramai 137 pendaki tempatan dan luar negara terkandas di puncak Gunung Kinabalu.

Baca artikel ini: Trauma menanti gempa
Oleh Marryan Razan
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I am a blogger since 2008, i have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2019. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger