Home » , , » Tamu sebagai wadah penjana ekonomi penduduk tempatan

Tamu sebagai wadah penjana ekonomi penduduk tempatan

Posted By Dennelton on Tuesday, January 26, 2016 | 10:59

PERNAHKAH anda membeli barangan atau produk di tamu? Pasti ramai di antara kita pernah
mengunjungi tamu untuk membeli produk segar dan basah seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan daging segar serta pelbagai lagi jenis produk lain seperti ubat-ubatan dan aksesori.

Tamu atau pasar terbuka mingguan amat popular di kalangan penduduk negeri Sabah dan Sarawak sebagai pusat membeli belah yang bersifat santai.

Tamu merupakan versi pasar terbuka atau pasar tani seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Ia menjadi pusat bagi penduduk tempatan terutamanya bagi mereka yang terlibat dengan industri primer seperti pertanian, perikanan dan penternakan mencari rezeki dengan memasarkan hasil produk mereka.

Tamu di negeri Sabah pada amnya menjadi satu tarikan yang bukan hanya kepada para peniaga dan pembeli tetapi juga pengunjung dari luar kawasan daerah atau pelancong dari dalam dan luar negara. Tamu yang menjadi pusat penjanaan ekonomi secara mikro turut memperlihatkan interaksi sosial di kalangan masyarakat majmuk yang bertandang ke lokasi tersebut.

Tamu juga boleh dianggap sebagai ‘melting pot’ kerana ia merupakan pusat pertemuan harmoni para peniaga, peraih, pemborong dan pembeli dari pelbagai latar belakang budaya, keturunan dan etnik di negeri Sabah. Mereka (masyarakat tamu) mewarnai serta mewujudkan suasana kemesraan dengan proses tawar-menawar harga yang dianggap lumrah oleh peniaga dan pembeli untuk mendapatkan harga terbaik untuk produk yang dikehendaki. Selain itu, tamu menjanjikan satu pengalaman menarik untuk dikongsi dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai terutama bagi mereka dari luar negeri Sabah kerana keunikan tamu yang menjadi nadi perpaduan konsep 1Malaysia.

Sejarah dan asal usul tamu di negeri Sabah tidak banyak direkodkan. Ia mungkin telah berkembang sejak zaman dahulu lagi di mana sistem Barter diperkenalkan di dalam urus niaga sebelum Perang Dunia Kedua. Beberapa ilustrasi dan gambar yang berkaitan dengan sejarah awal tamu di negeri Sabah boleh dilihat di Muzium Negeri Sabah. Sejarah tamu mungkin hanya menjadi titipan dan perbualan dari mulut ke mulut kerana popularitinya yang menjadi medan pertemuan sanak saudara dan sahabat handai pada suatu ketika dahulu saat telefon pintar dan media sosial menjadi fenomena di alaf baharu ini. Perkataan tamu juga membawa maksud konotasi pertemuan dan tetamu (pengunjung atau pembeli) yang datang dari segenap pelosok kawasan dan daerah di negeri Sabah membeli hasil tani dan produk lain yang segar dengan harga yang berpatutan.

Tamu dianggap sebagai sektor tidak formal yang terlibat di dalam urus niaga produk tani dan juga dari industri desa. Ia turut menjadi lubuk rezeki bagi sesetengah industri kecil dan sederhana (IKS) di dalam mempromosikan produk dan juga perkhidmatan mereka kepada pengunjung yang datang ke tamu.

Walaupun bukan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara mutlak, namun peranan tamu lebih dilihat sebagai wadah penjana ekonomi penduduk tempatan terutamanya bagi mereka yang mengabdikan diri dengan kegiatan pertanian, perikanan dan penternakan sebagai satu aktiviti sara diri. Hasil jualan produk mereka itu dapat menampung kehidupan mereka dan setidak-tidaknya dapat menangkis kos sara hidup yang meningkat dari masa ke semasa.

Selain itu, aktiviti berniaga di tamu turut menjadi satu aktiviti meluangkan masa serta hobi di kalangan penduduk tempatan. Ini adalah kerana tamu tidak dijalankan pada setiap hari di sesuatu daerah tersebut dan ini memberikan masa kepada petani, penternak, nelayan dan juga para peniaga barangan runcit untuk mengangkut produk mereka dari lokasi asal ke destinasi tamu yang ditujui.

Tamu turut memperkenal serta mempromosikan budaya tempatan kepada pengunjung luar terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke tamu. Kraf tangan tempatan hasil dari industri desa banyak mewarnai persekitaran tamu. Walaupun dianggap sebagai satu pasar terbuka yang bersifat santai, masyarakat tamu mampu menjadi tonggak kepada kemajuan sesuatu daerah atau mukim melalui peningkatan pengunjung yang datang ke tempat tersebut seperti Tamu Besar Kota Belud. Ia sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat terutama peniaga yang datang dari segenap lapisan etnik yang terlibat di dalam industri desa. Pembeli atau pelanggan misalnya akan mempromosikan tamu secara komunikasi mulut ke mulut atau dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, Pinterest, Twitter dan Instagram.

Jadual operasi tamu di daerah tertentu di negeri Sabah biasanya ditetapkan oleh Majlis Perbandaran atau Daerah bagi setiap lokasi tamu berkenaan. Para peniaga serta pembeli mempunyai pilihan untuk memilih tamu yang diingini dan berpeluang untuk mengunjungi tamu tersebut (pada hujung minggu) jika terlepas masa operasi tamu yang jatuh semasa waktu bekerja (Selasa sehingga Jumaat). Jadual operasi tamu di negeri Sabah ini bermula seawal jam 6 pagi. Namun begitu, ada di antara peniaga dan juga pembeli yang datang seawal jam 5 pagi. Peniaga dan pembeli mula meredah kedinginan awal pagi untuk pergi ke tamu dan situasi ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana peniaga dilihat memunggah produk jualan dan pembeli yang mencari parkir kereta.

Pelbagai jenis produk hasil tani dan juga industri desa yang boleh diperolehi di tamu seperti produk hasil pertanian, penternakan, perikanan, kraf tangan, pakaian, makanan, minuman, ubat-ubatan tradisional barangan dapur dan aksesori perhiasan diri. Variasi produk yang ditawarkan memberikan peluang kepada pembeli untuk membuat banyak pilihan kerana ada di antara produk tersebut mungkin tidak terdapat di lokasi yang lain terutamanya makanan tradisi dan kraf tangan.

Ini memberi peluang kepada pembeli untuk mencuba sesuatu produk yang baharu terutamanya makanan tradisi seperti jeruk tuhau dan bambangan yang begitu popular di kalangan pengunjung tamu tempatan. Kraf tangan tradisi seperti tudung (siung, siraung) turut disasarkan kepada penggemar produk kraf tangan tersebut. Bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan produk siraung ini adalah mudah didapati seperti buluh dan rotan. Keindahan dan kehalusan produk kraf ini hasil kerja tangan komuniti tempatan. Simbol budaya yang ditunjukkan melalui produk kraf tangan ini boleh menjadi satu jenama yang memperkenalkan budaya sesuatu etnik tersebut seperti Kadazandusun, Bajau dan Lundayeh yang terkenal dengan penghasilan siraung tadi ke mata dunia.

Tamu pada alaf baharu ini tidak terkecuali dari arus pemodenan kawasan sekitarnya. Hari demi hari ia meniti suatu kepastian yang tidak begitu jelas mengenai kelestariannya pada masa akan datang. Kini, tamu bersaing dengan pasaraya besar yang dibina berhampiran dengannya yang dilihat lebih selesa.

Oleh itu, perancangan dan pembangunan tamu sebagai wadah penjana ekonomi warga tempatan haruslah diteruskan kerana tamu itu sendiri adalah salah satu warisan generasi terdahulu untuk pengalaman generasi yang akan datang. Pemuliharaan tapak dan bangunan tamu harus dilakukan dari masa ke semasa terutamanya hal yang berkaitan dengan kebersihan. Tamu harus diposisikan sebagai pasar terbuka bersifat santai kerana variasi etnik yang ada di dalamnya berpadu sehati sejiwa di dalam menjalankan urus niaga yang dipanggil perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup!

OLEH CHARLIE ALBERT LASUIN
(Pensyarah Program Pemasaran, Universiti Malaysia Sabah dan Penuntut Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia)
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I am a blogger since 2008, i have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2019. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger