Home » , » Kuasa Dihujung Jari Anda!

Kuasa Dihujung Jari Anda!

Posted By Dennelton on Thursday, May 5, 2016 | 22:40

MEDIA sosial merupakan salah satu daripada media berpengaruh alaf baharu ini. Tidak dinafikan bahawa

Dekad 90an telah menyaksikan Internet muncul dengan laman sesawangnya yang pertama pada 1991 iaitu http://info.cern.ch yang menjadi titik tolak kepada pembangunan kemajuan Internet seperti yang kita alami pada hari ini.

Revolusi Internet turut merubah lanskap penyiaran dunia elektronik dengan teknologinya yang canggih yang hampir boleh dicapai oleh segenap lapisan masyarakat penghuni alam. Ia turut mengubah cara manusia berkomunikasi iaitu daripada komunikasi mulut ke mulut kepada penggunaan media sosial yang turut mencipta komunitinya tersendiri iaitu Netizens.

Media sosial pada khususnya merupakan satu interaksi di antara beberapa individu yang berlaku pada masa tertentu di mana mereka mencipta, mengongsikan serta bertukar-tukar maklumat dan ide secara komuniti maya dan rangkaian yang menggunakan teknologi Internet. Media sosial merupakan alat komunikasi terkini yang menggunakan kemajuan Internet untuk berhubung dan berkomunikasi dengan seseorang dari segenap pelosok dunia dengan hanya menekan punat pada papan kekunci komputer peribadi, riba atau telefon pintar.

Segala maklumat dan isi kandungan perbualan dapat disampaikan dengan pantas di dalam beberapa saat sahaja bergantung kepada kelajuan sistem Internet tersebut. Secara umumnya, pengguna media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah mereka yang berumur di dalam lingkungan 15 sehingga 35 tahun. Namun begitu, golongan yang berumur 40 tahun ke atas turut menjadikan alat media sosial sebagai satu bentuk keperluan informasi yang bersifat interaktif selain menjadi hiburan dikala kesunyian.

Data yang dipetik daripada Internet World Stats menunjukkan Malaysia mempunyai jumlah lebih daripada 20 juta pengguna Internet di rantau Asia Tenggara. Manakala pengguna media sosial di Malaysia pula mencatat 59 peratus daripada purata 31 peratus pengguna global. Ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan di antara negara yang aktif di dalam penggunaan media sosial bagi memenuhi keperluan seharian mereka. Generasi C ataupun Gen C merupakan golongan yang paling aktif menggunakan Internet terutamanya media sosial. Mereka merupakan generasi yang berada di dalam kelas mereka tersendiri yang berumur 18 sehingga 35 tahun. Mereka dianggap sebagai satu segmen pengguna yang berkuasa di dalam membuat penilaian produk dan perkhidmatan, terutamanya yang melibatkan iklan produk atau perkhidmatan tersebut di dalam media sosial.

Media sosial sebenarnya merupakan sebahagian daripada aktiviti pemasaran Internet yang melihat kepada struktur dan kepelbagaian alat komunikasi yang digunakan bagi tujuan mendapatkan perhatian pelanggan. Media sosial membantu pemasar untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka termasuk promosi jenama mereka. Media sosial boleh menjadikan sesuatu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemasar tersebut menjadi ‘viral’ dikalangan Netizens.

Ia membantu mempromosi dan seterusnya memasarkan produk dan perkhidmatan tadi kepada pengguna atau pelanggan yang berpotensi membeli produk mereka. Aktiviti ini mampu menjana hasil kepada pemasar dan seterusnya kepada firma jika media sosial tadi digunakan dengan cara dan kaedah yang betul.

Sejak kebelakangan ini, kita disajikan dengan pelbagai jenis informasi dari dalam dan luar negara yang melibatkan individu tertentu, artis terkenal dan isu hangat yang berkaitan dengan situasi semasa sesebuah negara atau wilayah banyak dibincangkan di dalam media sosial. Segala informasi tadi dapat diperolehi dengan sekelip mata dengan hanya melayari media sosial terbabit.

Ini membantu kita untuk mendapatkan berita atau perkembangan terkini sesuatu peristiwa yang berlaku 360 darjah disekeliling kita. Kita mendapat pengetahuan dan juga informasi berguna yang boleh dijadikan sebagai sajian topik perbualan kita seharian dengan keluarga, sahabat handai dan juga rakan sekerja secara realiti mahupun secara maya. Ia menjadi satu tren kehidupan masyarakat pada masa kini yang boleh dilihat di mana sahaja mengikut keselesaan masing-masing.

Medium media sosial seperti telefon pintar, komputer riba atau komputer peribadi lebih menjurus kepada penggunaan hujung jari kita untuk menekan papan kekunci pada alat tersebut. Kita dapat merasai bahawa kuasa tersebut sebenarnya terletak dihujung jari kita! Setiap abjad yang muncul menjadi satu perkataan pada skrin berdasarkan isi hati dan minda kita untuk dipersembah, dikongsi serta disampaikan kepada Netizen atau individu tertentu. Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial membawa pelbagai kelebihan kepada kita. Namun begitu, apa yang dapat kita lihat pada hari ini, media sosial menjadi landasan kepada perkara negatif yang boleh memusnahkan kehidupan seseorang.

Oleh itu, sebagai seorang pengguna media sosial yang bijak, kita haruslah berfikir sebelum menyampai atau mengongsikan sesuatu maklumat, kenyataan dan pendapat masing-masing di dalam medium teknologi ini. Sesuatu kenyataan yang berbaur negatif mungkin akan menjadi “viral” dan bakal menjadi tatapan pembaca media sosial seluruh dunia kerana saluran penyampaian media sosial amatlah pantas jika dibandingkan dengan medium lain.

Hanya di dalam beberapa minit sahaja sesuatu perkara atau kenyataan yang dipaparkan di dalam media sosial tersebut boleh dikongsi oleh Netizen. Ini terutamanya berlaku bagi cerita dan kenyataan yang sensasi dan serta bersifat kontroversi. Berhati-hatilah semasa menulis di dalam aplikasi media sosial. Fikirkan dahulu apa yang hendak disampaikan kerana kuasa itu sebenarnya ada di dalam diri kita – minda kita sebagai seorang manusia yang mempunyai akal fikiran.
Memang betul jari jemari kita yang menekan papan kekunci pada telefon pintar, komputer riba atau sebagainya. Ibarat kuasa itu berada dihujung jari kita. Namun begitu, akal kitalah yang sebenarnya mengawal segalanya perlakuan pada diri kita.

Jangan jadikan jari jemari kita sebagai kuasa yang suatu hari nanti akan membinasakan diri kita sendiri dek menyalahgunakan media sosial. Pepatah dan peribahasa orang terdahulu ada menyelitkan unsur nasihat di dalam kehidupan seharian seperti, sebab mulut badan binasa dan pena itu lebih tajam dari mata pedang. Apa yang relevan dengan penggunaan media sosial pada hari ini adalah kuasa itu berada dihujung jari kita jika kita mengabaikan akal dan budi kita sendiri. Jangan mengikut kata hati kerana ia membawa kepada mati.

Kesimpulannya, fikirkan dahulu apa yang hendak kita muatkan di dalam media sosial. Sebab, segala perbuatan yang kita lakukan pada hari ini mungkin akan dihitung pada masa hadapan. Media sosial itu membawa kebaikan jika nawaitu kita menjurus ke arah kebaikan dan ia juga boleh menjadi sebaliknya pula jika minda seseorang itu penuh dengan warna kegelapan!
media sosial telah merubah ketamadunan hidup manusia iaitu hubungan komunikasi merentas benua dengan tanpa sempadan. Media sosial telah lahir akibat daripada ledakan teknologi Internet yang sentiasa berkembang mengikut arus peredaran masa sejak ia muncul lewat tahun 50an lagi.

 OLEH CHARLIE ALBERT LASUIN
(Pensyarah Kanan, Program Pemasaran, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah dan Penuntut Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia)
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I am a blogger since 2008, i have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2019. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger