PASARAYA yang menawarkan harga barang termampu. |
Para ibu dan suri rumah merupakan golongan yang paling sibuk berbelanja menjelang perayaan hari raya, krismas, tahun baru cina, pesta menuai dan lain-lain perayaan pasaraya.
Sejak kebelakangan ini kebanyakan suri rumah dan para ibu lebih gemar berbelanja di pasaraya dua (2 bintang ) walaupun barangan yang terdapat di pasaraya berkenaan bukan barangan berjenama tapi ianya berkualiti dan tahan lama.
Seorang suri rumah, Puan Mince Liling, 42, dari Taman Bersatu berkata wanita masa kini harus bijak menilai dan berjimat semasa membeli barang keperluan menyambut perayaan.
“Kenapa harus membazir wang membeli barang keperluan pada harga yang mahal sedangkan ada pasaraya yang menawarkan harga yang lebih rendah dan berpatutan dan berkualiti,”kata Mince.
Mince berkata demikian ketika ditemui membeli belah di pasaraya ‘One Stop Superstore’ terletak di Jalan Putatan-Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Saya dapat membeli barang kuih, dan lain-lain barang perhiasan dan peralatan rumah dengan harga yang berpatutan yang mana kegunaannya sama saja dengan barang yang berjenama tetapi harganya mahal,” kata suri rumah itu.
Beliau berkata dia kerap membeli-belah di pasaraya tersebut dan dapat menjimatkan duit yang lebih untuk keperluan lain.
Majoriti pelanggan wanita yang ditemui berbelanja di pasaraya berkenaan setuju dengan pendapat Mince.
“Kalau ada pasaraya yang menawarkan harga barangan keperluan yang berpatutan dan berkualiti berbanding tempat lain yang lebih mahal, kenapa pula kita abaikan peluang sedemikian,” kata seorang wanita yang memperkenalkan namanya Puan Yati sahaja.
Suri rumah berusia 40 tahun itu berkata sesuatu barang keperluan bukan terletak pada jenamanya semata-mata tetapi terpulang kepada individu yang menggunakannya.
“Walaupun jenama barang itu terkenal dan harganya mahal, kalau tuan punya barang tersebut tidak cermat dan menjaganya dengan baik barang tersebut akan cepat rosak juga,” tambah Yati.
Pelbagai barang keperluan termasuk perhiasan dan barangan dapur seperti set gelas dan barang kuih untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri yang terdapat di pasaraya berkenaan dijual antara RM3 hingga RM80.
Pasaraya One Stop Superstore dulunya dikenali dengan nama Kedai 2 Ringgit telah sekian lama diminati oleh masyarakat setempat kerana menjual pelbagai jenis barang keperluan rumah dan peralatan sekolah dengan harga rendah.
Bagi keluarga yang berpendapatan rendah mereka boleh membeli pelbagai jenis peralatan dan perhiasan yang termampu, setanding dengan perbelanjaan keluarga mewah, yang menjadi perbezaan hanya jenama barang-barang tersebut sahaja. OLEH SHANE SHAH
Post a Comment
Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!